Powered by Blogger.
RSS

~*...Cinta hati mY hearT...*~

~*...Faktor perceraian...*~

PENDEDAHAN Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, menerusi kajian yang dibuat pada 2008, mendapati wujudnya potensi tinggi berlakunya perceraian dalam usia perkahwinan 10 tahun ke bawah.
Dalam kajian pada 2007 pula, Jakim mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian dan bagi tempoh enam hingga 10 tahun pula mendapati 27.7 peratus bercerai.
Ini bererti tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus pasangan berakhir dengan perceraian.
Berdasarkan rekod 2009, 135,136 perkahwinan didaftarkan manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan.
Di negara kita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diwujudkan bagi menjaga kebajikan wanita supaya tidak teraniaya, tertindas, ketinggalan dan seumpamanya.
Namun, melihat keadaan semasa di negara kita pada masa kini, mungkin tiba masanya kita memikirkan sebuah badan khas untuk membantu lelaki yang kelihatan semakin pudar keupayaan mereka.
Allah SWT menciptakan isi dunia ini berpasangan supaya mereka saling bekerjasama memakmurkan dunia sesuai dengan fitrah mereka.
Namun, jumlah wanita lebih ramai memenuhi institusi pengajian tinggi dan seterusnya semakin banyak menguasai jawatan dalam bidang pekerjaan.
Pendidikan dalam rumah tangga semakin terhakis, satu puncanya adalah apabila wanita semakin ramai diperlukan untuk keluar bekerja sedangkan lelaki pula gagal menampung keperluan membantu dalam pendidikan anak.
Dalam kata mudahnya, dunia pekerjaan kini memerlukan bantuan wanita untuk terus bergerak tetapi dunia rumah tangga memerlukan bantuan lelaki untuk terus harmoni.
Apabila wanita kelihatan berjaya menampung keperluan dunia pekerjaan, tentu kemampuannya mengurus isi rumah tangga menyusut, ketika itulah peranan lelaki diperlukan tapi sedikit malang apabila lelaki terus terkebelakang.
Di dunia kerjaya mereka menyusut, di dalam rumah tangga mereka sering gagal menampung ruang kosong ditinggalkan isteri yang bekerja.
Hasilnya pergolakan pasti berlaku, rumah tangga berantakan, anak pasti terkena impak negatif dan seterusnya mendasar di dalam jiwa mereka sehingga dewasa.
Lebih buruk jika impak itu merosak jiwanya dan menjadikan anak berkenaan sebagai pembuli di sekolah, ‘virus’ di universiti, sampah dalam masyarakat dan pencipta masalah dalam negara.
Allah SWT menyebut dalam surah Al-Nisa, ayat 43, bahawasanya: “Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafkah yang mereka berikan.” Jelas daripada ayat di atas, Allah melantik lelaki selaku ketua dan pemutus keputusan di dalam sesebuah rumah tangga berdasarkan dua sebab utama iaitu, kelebihan fizikal mereka dan, tanggungjawab mereka selaku pencari nafkah untuk keluarga.
Nescaya, kalau kedua-dua itu tidak disempurnakan dengan baik, pasti masalah akan berputik satu demi satu, ketidakpuasan hati akan menjelma hari demi hari, kehidupan akan berubah kepada seribu satu macam jenis masalah hingga berakhir dengan perceraian dan anak bermasalah.
Kerana itu keharmonian keluarga sangat penting dalam Islam dan Rasulullah SAW mengatakan, krisis dalam keluarga boleh ‘menghakis’ agama kerana ia punca kepada masalah lebih besar dalam masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sahabatku, mahukah kamu aku khabarkan satu amalan yang lebih besar fadilatnya berbanding puasa (sunat), sedekah (sunat) dan solat (sunat)?” Maka Abu Darda’ menjawab: “Ya, Rasulullah.” Baginda membalas: “Itulah mendamaikan perbalahan dalam keluarga dan masyarakat.” (Riwayat Al-Tirmidhi Abu Daud) Rasulullah turut menyatakan bahawasanya: “Kerosakan dalam hubungan rumah tangga, kaum kerabat dan organisasi masyarakat akan menghakis (ketaatan dalam agama).” (Riwayat Ahmad dan Tirmidhi: Hadis Hasan) Apabila wanita sudah bekerja dan berpendapatan sendiri, mereka tiada lagi punyai masalah untuk bercerai, hasilnya berdasarkan kajian, ‘trend’ perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita (isteri).
Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian.
Allah Maha Mengetahui wanita dan emosinya, ia satu perkara fitrah, justeru, kuasa cerai diberikan kepada suami.
Namun, isteri masih mempunyai kuasa untuk memohon melalui mahkamah apabila mereka benar-benar mempunyai kes dan sebab yang utuh di sisi syarak.
Fakta yang diberikan di atas menyokongnya, ia juga sekali gus menunjukkan kegagalan lelaki.
Artikel ini bukan bertujuan menyalahkan sesiapa, cuma mengajak kita berfikir sejenak kepada kelemahan lelaki dalam memainkan peranannya yang dianugerahkan oleh Allah, iaitu sebagai ketua keluarga.
Ia adalah satu tugas dan amanah yang datang dengan tanggungjawab dan peranan.
Tanggungjawab sebesar itu memerlukan ilmu dan kredibiliti secukupnya untuk bertindak selaku pemutus keputusan di dalam rumah tangga.
Keputusan dibuat pula mestilah rasional dan boleh diterima oleh ahli rumah, khususnya isteri, sama seperti sifat seorang hakim di dalam mahkamah, selain hakim, peguam bela dan pendakwa juga pakar di dalam bidang undang-undang, namun ia perlukan seorang pemutus keputusan.
Itulah sebaik-baik cara yang Allah SWT ajarkan untuk manusia, mereka perlukan pemimpin yang tidak mudah terpengaruh dengan emosi, tetapi lebih tumpu kepada rasional dalam membuat keputusan.
Berdasarkan ayat surah al-Nisa tadi, Allah melantik lelaki dan Allah Maha Mengetahui setiap kelemahan dan kelebihan makhluk yang diciptakan-Nya.
Hari ini, dengan segala kecukupan peralatan dan fizikal yang ada pada lelaki, semakin ramai menyalahgunakan kemudahan fizikal.
Kelebihan digunakan untuk menjadi penjenayah tegar, tenaga fizikal digunakan untuk ‘merempit’ dan menunjuk kekuatan dengan bergaduh dan tidak ketinggalan juga sebahagiannya diguna untuk mendera anak, isteri dan wanita lain.
Minda logik dan kurang emosi yang dianugerahkan Allah SWT digunakan untuk ‘menjustifikasikan’ segala kelalaian, menghiburkan diri apabila ditimpa kegagalan, padahal tiada usaha secukupnya dilaksanakan.
Akhirnya, semakin ramai lelaki gagal menggalas tugas ketua keluarga lantaran mendorongnya untuk terus mendesak isteri mengambil alih sebahagian tugasannya yang akhirnya menjadi punca kepada ‘rumahku nerakaku’.
Mungkin dengan sebab itu, kita kini memerlukan satu agensi khusus untuk melindungi lelaki sebagaimana peranan KPWKM yang melindungi wanita.
Kita sedar tabiat lelaki tidak suka dinasihati kecuali mereka yang datang meminta, tidak seperti wanita yang mudah menerima nasihat.
Justeru, adakah jika kementerian seperti ini diwujudkan, ia boleh mengubah situasi buruk yang melanda? Apapun, pemimpin negara dan semua pihak berkuasa memerlukan kaedah dan strategi lebih jelas dan berkesan bagaimana untuk kembali memperkasakan lelaki daripada aspek iman, ilmu, jiwa dan minda supaya mereka kembali menjalankan tanggungjawab dan bukan sibuk menjual ‘ubat kuat’ dan ‘tahan lasak’.
Tanpa pelan bertindak yang jelas dan jitu, krisis lebih buruk akan berlaku kepada lelaki, khususnya di negara kita.
Sudah tentu perkara pertama adalah mengembalikan mereka kepada fitrah mereka, membawa lelaki kepada agama kerana semua itu bakal mempengaruhi isteri dan anak mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: